Tengah hari tadi, saya dan Premier Li Qiang mengetuai rombongan delegasi masing-masing ke West Lake State Guest House di Hangzhou - sebuah daerah yang juga merupakan kampung halaman Premier Li.
Mesyuarat dua hala Malaysia-China dan majlis jamuan rasmi berlangsung di bangunan bersejarah dengan keindahan landskap klasik Cina, dalam suasana yang cukup mesra dan akrab.
Saya memulakan dengan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas bantuan serta kerjasama Kerajaan China dalam menyokong dan memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat bencana di Tibet baru-baru ini, di samping menyampaikan salam takziah atas musibah tersebut.
Bicara kami kemudiannya tertumpu kepada tekad bersama untuk merintis kerjasama baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan berimpak tinggi, di samping memperkukuh serta memantapkan lagi kerjasama membabitkan sektor-sektor yang telah sedia matang.
Perbincangan turut menyentuh pelbagai isu strategik berkepentingan bersama, merangkumi pembangunan kecerdasan buatan (AI), kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), potensi industri semikonduktor, serta kerjasama bersama Exim Bank China.
Menjelang Perayaan Kuih Bulan yang bakal disambut esok, saya sempat menzahirkan ucapan 中秋节快乐 kepada Premier Li Qiang serta seluruh delegasi China, serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan China atas layanan mesra yang diberikan sepanjang lawatan kerja saya di Shanghai dan Hangzhou.
Walhasil, hubungan erat Malaysia dan China hari ini telah melangkaui kerangka diplomatik biasa. Ia menderu di atas landasan kepercayaan, keikhlasan dan keyakinan bersama, sekali gus mematangkan persahabatan hakiki demi mengalirkan limpahan kemakmuran serta manfaat buat rakyat kedua-dua negara.
🇲🇾🫶🇨🇳
#MalaysiaMADANI
#DiplomasiMADANI
#YakinMADANI